Pertembungan PASPAN Semakin Memuncak

Pertembungan di antara PAS dan parti serpihannya PAN di Kelantan dilihat semakin memuncak selepas bekas pemimpin kerajaan negeri yang ‘disingkirkan’, Datuk Husam Musa tiba-tiba muncul di atas pentas ceramah yang bertajuk ‘Husam lari dari debat bai’ah’ di hadapan Stadium Sultan Muhammad Ke IV baru-baru ini.

Husam tanpa segan silu duduk di atas pentas tersebut bersama dengan pemimpin PAS mendengar setiap butir hujah yang ditujukan kepadanya mengenai soal bai’ah wakil rakyat parti itu oleh penceramah iaitu Yang Dipertua PAS Kawasan Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh selama lebih 30 minit.

Namun ketika ‘seteru’ utamanya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berceramah kekecohan berlaku apabila seorang lelaki meluru ke pentas sehingga membangkitkan kemarahan penyokong PAS.debatbaiah1

Berlaku perang mulut dan tolak menolak di antara penyokong kedua-dua parti itu sehingga Husam terpaksa diiring oleh Unit Amal PAS untuk meninggalkan majlis tersebut.

Sebelum ini, Husam dan Nassuruddin saling cabar mencabar untuk berdebat mengenai isu bai’ah talak tiga wakil rakyat PAS ketika sesi penggulungan pembentangan Bajet 2017 pada sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Oktober lalu.

Ekoran daripada itu, wakil kedua-dua pihak telah mengadakan beberapa pertemuan untuk menyahut cabaran tersebut namun difahamkan mereka gagal mencapai kata sepakat dan saling tuduh menuduh sehingga debat tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Justeru, PAS menganjurkan ceramah khusus untuk memberikan penerangan mengenai isu tersebut dan sebelum itu, Husam yang kini bersama PAN mengadakan beberapa siri ceramah ke seluruh negeri itu untuk menyerang Kerajaan PAS Kelantan serta membangkitkan isu debat diantaranya dengan Nassuruddin.

Kedua-dua seteru utama itu dilihat cuba menunjukkan kehebatan masing-masing meskipun isu bai’ah yang diperjuangkan mereka itu langsung tidak memberi sebarang kebaikan kepada rakyat.
Masing-masing menyalahkan antara satu sama lain sehingga pada malam tersebut tercetusnya kekecohan yang disifatkan cukup memalukan.

Melihat pada ‘drama’ tersebut, rakyat boleh menilai sendiri watak pemimpin-pemimpin PAS negeri dan Husam.

Sementara itu, Husam yang dihalau daripada ceramah tersebut ketika membuat kenyataan selepas itu berkata,
kehadirannya pada ceramah itu atas jemputan Timbalan Ketua Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd. Alawi selain mahu membuktikan bahawa beliau tidak pernah lari untuk berdebat.

“Ada satu majlis di Stadium Sultan Muhammad Ke IV pada malam ini mengaitkan nama saya dan ada ‘banner’ terpampang nama saya ‘viral’ di laman sosial kononnya untuk memberi gambaran saya tidak bersedia untuk berdebat dengan Nasuruddin, ini satu bentuk fitnah.

“Saya masih sedia berdebat dengan Nassuruddin pada bila-bila masa. Debat tak sama macam (pelaksanaan) haji dan puasa. Kalau puasa, kita kena puasa apabila masuk 1 Ramadan. Tapi (nak) debat tak payah tengok anak bulan,” kata bekas Naib Presiden PAS itu.

Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa PAS negeri, Nik Bahrum Nik Abdullah yang mewakili Nassuruddin untuk berunding sebelum debat itu diadakan berkata, isu tersebut sepatutnya telah selesai sekiranya Husam benar-benar serius untuk berdebat.

“Kita mengadakan mesyuarat sebanyak empat kali namun pihak Husam masih belum dapat menetapkan tarikh. Apabila kita meletakkan tarikh dan tempat di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV seperti mana yang diinginkan wakil Husam, namun masih ada pelbagai alasan. Jadi, kita boleh kata Husam lari dari debat sebab sentiasa ada alasan daripadanya,” katanya.