7,000 Ditipu Syarikat Ala MLM

Hampir 7,000 individu terpaksa berputih mata apabila mengalami kerugian berjumlah jutaan ringgit melabur dengan sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan ala perniagaan pemasaran bertingkat (MLM).

Mereka mendakwa ditipu oleh syarikat O.B.J Trading yang menawarkan beberapa perkhidmatan seperti peluang pekerjaan di rumah, pinjaman wang serta membekalkan barangan runcit.

Malah mangsa yang kebanyakkannya peniaga mendakwa, syarikat berkenaan gagal menyediakan barangan serta membayar gaji seperti yang dijanjikan.

Menurut seorang mangsa, Abdullah Mohammad, 62, syarikat berkenaan mula beroperasi sejak Disember lalu dan telah mendapat kepercayaan orang ramai melalui pelbagai perkhidmatan yang disediakan termasuk peluang pekerjaan dari rumah.

“Syarikat ini berjaya meyakinkan orang ramai dengan menggunakan seorang ahli politik untuk merasmikan pembukaan syarikatnya Disember lalu.

“Waktu itu, saya yakin dengan perkhidmatan syarikat berkenaan dan mula mencari saudara mara yang ingin bekerja di rumah dengan gaji RM800 sebulan.

“Namun, itu hanya tipu helah dan gaji pekerja tidak dibayar seperti yang dijanjikan,” katanya ketila ditemui di hadapan premis berkenaan di Bandar Baru Tunjong.

Seorang lagi mangsa, Hashim Yusof, 46, berkata, dia mengalami kerugian RM7,000 untuk penjualan barangan runcit seperti minyak, beras, gula dam sebagainya.

“Saya telah melabur RM7,000 untuk barangan runcit dan mereka berjanji untuk menghantar barangan berkenaan selepas dua minggu.

“Namun, setelah dua minggu, saya masih tidak menerima apa-apa barangan daripada mereka sehinggalah saya menyedari yang saya telah ditipu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Superintendan Mohamed Zulmazi Che Daud mengesahkan menerima lebih 23 laporan polis berhubung kegiatan yang dilakukan lelaki berusia 40-an itu.

“Polis kini sedang mengesan individu terlibat untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana memperdaya orang ramai,” katanya. – 25 Februari 2017.