Kembang Industri Warisan Batik

Usaha mengembangkan industri warisan seperti batik tidak seharusnya digalas oleh agensi tertentu seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sahaja.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, kementerian lain juga boleh memainkan peranan masing-masing mengikut kesesuaian termasuk membantu para pengusaha batik dari segi kewangan, promosi, peluang atau bimbingan perniagaan.

“Sebagai contoh, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dan Agrobank yang memberi pinjaman kepada usahawan tidak kira dalam bidang apa, sama ada industri asas tani atau pelbagai industri lain.

“Usaha salah satu agensi kementerian iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) membantu dan membimbing sebuah syarikat perusahaan batik, Ayu Fashion Sdn. Bhd. sehingga berkembang maju juga amat membanggakan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika melawat kilang perusahaan Ayu Fashion di Kampung Talak, Tumpat.

Sementara itu, pengasas dan pemilik Ayu Fashion, Ibrahim Deraman mengakui, industri batik tidak berkembang dengan baik sebagaimana suatu ketika dahulu.

Selain itu katanya, industri batik berdepan kekurangan golongan pelapis yang mempunyai minat mendalam bagi meneruskan kesinambungan seni warisan itu.

“Bagaimanapun saya bersyukur kilang mencetak batik blok yang diusahakan bersama ahli keluarga sejak 45 tahun lalu dapat bertahan dan terus berkembang dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan.

“Kami bertuah kerana selain mendapat bimbingan KADA, perusahaan batik kami juga disokong oleh pelbagai agensi lain seperti Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri,” katanya. – 25 Februari 2017.