Kerajaan Rancang Bina 500 Unit Rumah Generasi Kedua Felda Dan Kesedar

Kerajaan merancang membina sebanyak 500 unit rumah generasi kedua Felda dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dengan kos RM80 juta di Gua Musang.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, peruntukkan menerusi Projek Perumahan Rakyat (PPR) fasa kedua yang ditangguhkan itu bakal digunakan untuk pembinaan rumah tersebut.

“Sebelum ini, kita merancang membina 500 buah rumah bagi fasa dua PPR untuk penduduk setinggan namun terpaksa ditangguhkan dahulu.

“Jadi duit yang ada RM80 juta itu elok kita bina rumah sebanyak 250 unit untuk generasi Felda dan 250 unit lagi untuk Kesedar dengan harga yang berpatutan.

“Kita berharap dengan adanya bantuan rumah itu dapat meredakan sedikit tekanan ahli peneroka yang masih tinggal bersama ibu bapa,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesyuarat Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan perasmian Dewan di Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh 1 dan 2, Gua Musang.

Tambah Tengku Razaleigh, perancangan tersebut diharap dapat memberi kelegaan kepada peneroka di daerah ini. – 25 Februari 2017.