Proses Permohonan BR1M Dijangka Selesai 28 Februari

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, pemprosesan permohonan 3,123,950 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dijangka selesai pada 28 Februari ini.

“Kepada yang masih belum menerima BR1M atau status mereka masih dalam proses, iaitu seramai 3,123,950, pemprosesan permohonan BR1M anda dijangka selesai pada 28 Februari ini.

“Bagi yang dah menerima BR1M, saya harap dapat dibelanjakan dengan berhemah, Insya-Allah,” katanya menerusi catatan di laman Facebook dan Twitter.

Pembayaran BR1M bagi 2017 secara baucar dibuat pada 18 Februari manakala pembayaran secara terus ke akaun bank dibuat mulai 22 Februari lepas.

BR1M yang diperkenalkan pada 2012 adalah antara mekanisme utama penyampaian bantuan subsidi bersasar yang diguna pakai bagi menggantikan sistem subsidi pukal sebelum ini yang kurang berkesan dan mengalami banyak ketirisan.

Bagi BR1M tahun ini, bantuan itu akan dibayar secara berperingkat sebanyak tiga kali pada Februari, Jun dan Ogos. – 25 Februari 2017.