Rakyat Berdiri Teguh Belakang PM Hadapi Isu Dengan Korea Utara – Mustapa

Rakyat Malaysia berdiri teguh di belakang kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempertahankan kewibawaan dan kedaulatan institusi negara dalam menghadapi isu dengan Korea Utara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Malaysia rasa terhina dengan kenyataan Duta Besar Korea Utara di Malaysia, Kang Chol yang mempertikai kewibawaan institusi negara berhubung kes pembunuhan abang Presiden Korea Utara, Kim Jong-nam.

“Kita rasa terhina dengan komen Duta Besar Korea Utara (Kang Chol), yang mempertikaikan kewibawaan institusi kita, polis kita, doktor kita dan negara kita.

“Adalah tidak wajar bagi seorang duta yang melemparkan pelbagai tuduhan dan kita sebagai rakyat Malaysia, kita rasa terhina,”

“Rakyat Malaysia sokong 100 peratus kerajaan Malaysia dalam menghadapi isu dengan Korea Utara sekarang, sokong segala kenyataan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Konvensyen Barisan Nasional (BN) di bangunan UMNO negeri, di Kota Bharu hari ini.

Kang Chol juga mendakwa Malaysia cuba menyembunyikan sesuatu, malah berpakat dan bersekongkol dengan kuasa luar dalam pengendalian kes berkenaan.

Sementara itu Mustapa memberitahu, Malaysia masih meneruskan hubungan diplomatik dengan negara berkenaan dan soal perdagangan membabitkan sektor swasta.

“Perdagangan ini adalah urusan swasta, kalau ada permintaan dan bekalan.

“Sama ada meneruskan atau sebaliknya hubungan diplomatik, itu terserah kepada Kementerian Luar,” katanya. – 25 Februari 2017.