Sorok Minyak Peket Punca Bekalan Berkurangan

Tindakan segelintir pihak tidak bertanggungjawab menyorok minyak masak peket satu kilogram dikenal pasti sebagai antara punca kekurangan barangan bersubsidi tersebut di pasaran baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat.

Menurut beliau, masalah kekurangan minyak masak peket tidak sepatutnya berlaku kerana bekalan yang disediakan untuk kegunaan orang ramai adalah mencukupi.

“Kita faham ada sedikit masalah khususnya di Kota Bharu. Sepatutnya bekalan itu cukup. Difahamkan, ada orang menyorokkan dan menggunakannya di tempat tidak sepatutnya,” katanya selepas merasmikan Program Jalinan Rakyat 2017 Friends Of KPDNKK bersama Pengguna Daerah Kuala Krai di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Sok, Kuala Krai.

Sejak akhir-akhir ini, masalah kekurangan minyak masak peket bersubsidi di seluruh negara didapati masih lagi berlaku termasuk di pasar- pasar raya yang hanya menjual minyak masak botol lima kilogram (kg).

Situasi tersebut sekaligus telah menimbulkan rungutan dalam kalangan pengguna yang terpaksa membeli minyak masak botol yang harganya jauh lebih mahal daripada peket.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menangkap mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

“Dalam masa sama, kita juga mengharapkan kerjasama pengguna agar membuat aduan,” katanya. – 25 Februari 2017.