Teguran Sultan Johor Ada Benarnya

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyokong teguran Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang menyifatkan seorang pemimpin yang dipercayai merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai pelupa.

Beliau berkata, teguran Sultan Johor tersebut ada kebenarannya bagi menyedarkan pemimpin tersebut supaya kembali mengingati kembali apa yang pernah diungkapkannya satu ketika dahulu.

“Dahulu dia (Dr. Mahathir) beritahu Lim Kit Siang (Penasihat DAP) adalah seorang yang cukup rasis dalam negara ini. Hari ini dia angkat tangan Kit Siang dan bekerjasama.

“Sama juga ketika dia menyuruh rakyat tidak mempercayai media barat, hari ini, media barat bagi Mahathir memberi maklumat yang tepat.

“Dr. Mahathir ini jenis seorang yang pelupa apa yang dia kata sebelum ini,” katanya selepas merasmikan Program Jalinan Rakyat 2017 ‘Friend Of KPDNKK’ bersama Pengguna Daerah Kuala Krai di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Sok, Kuala Krai.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim meminta ahli politik luar supaya jangan mencampuri urusan dalaman Johor sehingga boleh mengelirukan dan memecahbelahkan rakyat negeri tersebut.

Baginda turut menasihatkan rakyat negeri Johor agar tidak terpengaruh dengan tipu helah orang luar yang cuba menakut-nakutkan mereka dengan cerita-cerita dongeng yang direka.
Dalam masa sama, Sultan Johor juga dilihat menyindir keras sikap seorang pemimpin yang dipercayai merujuk kepada Dr. Mahathir yang disifatkan pelupa dan berkemungkinan ada sedikit nyanyuk akibat faktor usia.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Menteri Perdangangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berkata, rakyat diminta menilai sendiri sikap Dr. Mahathir itu yang dilihat sudah jauh tersasar.
– 25 Februari 2017.