Tiada Pakatan BN, PAN Di Kelantan

Barisan Nasional (BN) Kelantan menafikan wujudnya pakatan antara parti itu dengan PAN bagi menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed menegaskan, dakwaan tersebut sama sekali tidak berasas dan pihaknya tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan parti serpihan PAS itu.

Katanya, khabar angin yang tersebar itu adalah taktik kotor yang sengaja disebarkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab dengan hasrat untuk melemahkan UMNO dan BN di Kelantan.

“BN tidak akan berpakat dengan PAN. PAN adalah musuh kita sama di peringkat Pusat atau negeri.

“Hubungan kita hanya dengan MCA, MIC dan Gerakan. Tidak ada parti-parti lain termasuk PAS,” katanya selepas Konvensyen BN Kelantan 2017 di Kota Bharu hari ini.

Baru-baru ini, tersebar luas di laman-laman sosial artikel yang disiarkan oleh sebuah portal yang mendakwa wujud rundingan sulit antara PAN dan UMNO bagi menumbangkan kerajaan PAS Kelantan pada PRU-14.

Sementara itu Mustapa berkata, BN sedia berhadapan dengan parti-parti pembangkang lain selain PAS dalam PRU-14.

Katanya, selain PAS, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) adalah musuh BN dalam pilihan raya akan datang.

“Kita sudah bersedia menghadapi saingan tiga atau empat penjuru di Kelantan. Dahulu hanya PAS, sekarang mungkin bertambah,” katanya. – 25 Februari 2017.