Lawatan Negara Raja Salman Ke Malaysia

Raja Salman Abdulaziz Al Saud hari ini tiba di ibu negara bagi melakukan lawatan selama empat hari ke Malaysia.

Ketibaan baginda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga selaku menteri pengiring.

Malaysia adalah negara pertama yang dikunjungi Raja Salman dalam rangka lawatan baginda ke Asia Tenggara sejak menaiki takhta pada 2015.

Kunjungan baginda ke Malaysia itu adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.raja-salman2

Kali terakhir Raja Arab Saudi melakukan lawatan ke Malaysia ialah pada 2006 iaitu oleh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud.

Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan negara ke Malaysia pada 1970.

Dalam catatan melalui akaun Twitternya, Najib berkata beliau tidak sabar untuk menyambut ketibaan Raja Salman.

Perdana Menteri berkata kali terakhir beliau bertemu Raja Salman ialah pada Mac tahun lepas di Riyadh dan amat berterima kasih atas layanan yang diberi kepada beliau.

Upacara sambutan negara untuk Raja Salman akan diadakan di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, diikuti upacara menghadap Sultan Muhammad V.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada taklimat media terbarunya mengenai lawatan itu menyifatkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi adalah kukuh.

“Wujud hubungan rapat secara peribadi antara Istana Saud dan Kerajaan Malaysia,” katanya. – 26 Februari 2017.