Kerajaan PAS Kelantan Gagal Bawa Perubahan – Ku Li

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan Kerajaan PAS Kelantan gagal membawa sebarang perubahan di negeri tersebut sepanjang 27 tahun memeritah.

Ahli Parlimen yang lebih mesra dengan panggilan Ku Li itu berkata, PAS juga gagal menepati pelbagai janji sehingga membuatkan rakyat semakin bosan selain negeri terus mundur berbanding negeri-negeri lain.

Sehubungan itu beliau menasihatkan rakyat melakukan perubahan dengan memilih Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

“Pemimpin kerajaan negeri banyak bersandiwara bagi meraih sokongan rakyat setiap kali pilihan raya.

“Hakikat sebenarnya tidak ada apa yang boleh dibanggakan dan Kelantan masih berada ditahap lama. Cukuplah rakyat menyokong parti itu pada pilihan raya akan datang,” katanya ketika berucap pada majlis Jom Ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Paloh 3, Gua Musang.

Tengku Razaleigh juga berkata, sejak PAS menerajui pemerintahan kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1990 banyak yang dijanjikan tidak dilaksanakan.

“Sudah sampai masanya bagi rakyat seluruh negeri menyokong BN pada pilihan raya akan datang kerana mampu membawa pembaharuan.

“Kita mahu bukan sahaja satu Parlimen dan tiga DUN di Gua Musang menang besar, sebaliknya kawasan lain di Kelantan juga turut menang,” katanya. – 27 Februari 2017.