Raja Salman Dikurnia Darjah Tertinggi Negara

Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud dianugerahkan darjah tertinggi negara sempena lawatannya ke Malaysia semalam.

Anugerah Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada istiadat khas sebelum majlis jamuan negara sempena meraikan baginda.

Hadir sama, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Raja Salman tiba untuk melakukan lawatan negara empat hari ke Malaysia atas undangan Yang di-Pertuan Agong.

Pada majlis berkenaan, baginda bertitah Riyadh bersedia menyokong inisiatif Kuala Lumpur dalam membantu umat Islam.

“Kami ingin menegaskan bahawa kerajaan Arab Saudi secara umumnya akan sentiasa membantu dalam apa jua perkara bagi manfaat Islam dan membantu umat Islam sejagat.

“Kami bersedia menghulurkan bantuan dan segala kekuatan yang kami miliki untuk membantu Malaysia merealisasikan apa jua usahanya dalam membantu umat Islam yang lain,” titah Raja Salman.

Dalam pada itu, Raja Salman bertitah baginda merasa sangat berbesar hati dan berbangga dengan tahap kemajuan dan kerjasama yang dicapai dalam semua bidang antara Arab Saudi dan Malaysia.

“Kami mengharapkan agar kita dapat meneruskan kerjasama ini demi manfaat kedua-dua negara,” titah baginda. – 27 Februari 2017.