Tawan DUN Panchor, PAN Cadang Nik Omar Calon

PAN Kelantan bercadang untuk mencalonkan anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, iaitu Nik Omar bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panchor pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Pengerusi PAN negeri, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, Nik Omar mampu meneruskan legasi pemerintahan bapanya selama lebih 20 tahun di negeri itu.

“Kami tahu beliau mempunyai kredibiliti yang sama dengan arwah bapanya, dan mampu menggalas tanggungjawab dengan baik.

“Jika kita menang, maka secara automatiknya aura Tok guru itu masih kekal di sini,” katanya selepas pembukaan cawangan baharu parti itu di Pulau Melaka.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Abdul Rahim memberitahu, PAN kini mempunyai 556 cawangan di 156 kawasan seluruh negara.

Beliau berkata, PAN optimis mampu memberi saingan untuk menawan kubu kuat PAS di DUN Panchor.

“Kita mahu teruskan apa yang telah diasaskan oleh Tok Guru Nik Aziz sebelum ini. Saya yakin kita mampu melakukannya,” katanya.

Sementara itu, Nik Omar enggan mengulas lanjut berhubung cadangan tersebut. – 27 Februari2017.