Era Baharu Hubungan Dua Hala Negara

Malaysia mencipta sejarah tersendiri dalam hubungan dua hala negara dengan Arab Saudi selepas lawatan rasmi empat hari Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke negara ini.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Raja Salman selesa dengan segala perjanjian dan pelaburan yang dimeterai kedua-dua negara sepanjang lawatan tersebut.

“Hubungan antara Raja Salman dan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) cukup erat dan saya percaya menerusi lawatan ini, era baharu hubungan dua hala tercipta antara pemimpin kedua-dua negara.

“Setiap menteri Kabinet dipertanggungjawabkan untuk melihat setiap perkara yang dipersetujui sepanjang lawatan ini bagi memastikan momentum hubungan dapat diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi keberangkatan pulang Raja Salman di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Hishammuddin turut mengesahkan, hubungan dua hala dengan Timbalan Putera Mahkota yang juga Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammad ibn Salman Al Saud, berada pada tahap lebih baik.

“Bagi Kementerian Pertahanan, saya sudah berhubung dengan Putera Mohammad Salman dan apa yang dibincangkan akan diumumkan dalam tempoh satu atau dua minggu.

“Kita mencapai persetujuan melatih angkatan tentera laut Arab Saudi berkaitan pengurusan dan kawalan kapal selam,” katanya.

Beliau berkata, perincian mengenai perkara itu sedang diuruskan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin. – 1 Mac 2017.