Jumlah Penagih Dadah Meningkat

Jumlah penagih dadah dalam kalangan masyarakat di negara ini menunjukkan peningkatan daripada 26,668 orang pada tahun 2015 kepada 30,847, tahun lalu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat berkata, kes membabitkan penagih baru juga dikesan meningkat daripada 20,281 kepada 22,925 penagih dalam tempoh dua tahun tersebut.

Sehubungan itu katanya, pihaknya akan sentiasa memainkan peranan dalam usaha mencegah masalah penyalahgunaan dadah ini yang dilihat semakin membimbangkan saban tahun.

“Trend penagihan dadah yang didapati meningkat ini cukup merisaukan walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk memerangi dadah secara habis-habisan,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat negeri Kelantan 2017.

Sementara itu katanya, trend gejala homoseksual selain hubungan seks rambang menjadi antara penyumbang utama kepada peningkatan kes jangkitan HIV di Kelantan.

Katanya, sejak 2015 hingga tahun lalu, sebanyak 120 kes HIV direkodkan di Kelantan dengan 90 daripadanya disebabkan seks rambang manakala 30 lagi berpunca menerusi hubungan sejenis.

“Kita dapati trend gejala homoseksual dan seks rambang di negeri ini semakin meningkat. Ini adalah trend baharu terutama melibatkan masalah homoseksual yang sebelum ini jarang berlaku di Kelantan.

“Kita dapati terdapat beberapa faktor antaranya gaya hidup bebas dan negeri ini terletak di kawasan sempadan yang memudahkan masyarakat berhibur di negara jiran,” katanya. – 1 Mac 2017.