Kelantan Catat Sejarah Terbaik Keputusan STPM

Kelantan mencatat sejarah terbaik dalam keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) 2016 dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) meningkat sebanyak 2.81 berbanding 2.73 pada tahun 2015.

Timbalan Pengarah Pendidikan negeri, Muhamad Zahari Othman berkata, peningkatan tersebut sekali gus mengatasi pencapaian peringkat nasional sebanyak 0.10 mata.

Menurutnya,  peratus calon lulus penuh pula adalah seramai 3,530 calon iaitu 99.05 peratus daripada keseluruhan 3,564 calon mengatasi pencapaian peringkat nasional sebanyak 0.64  peratus.

“Kita juga berbangga kerana peratusan kecemerlangan pelajar yang memperoleh keputusan empat dan lima prinsipal juga berjaya mengatasi peringkat nasional iaitu 76.57 peratus atau 2,792 calon berbanding 71.99 peratus tahun sebelum ini.

“Selain itu, sebanyak 45 daripada 59 buah sekolah bantuan kerajaan di negeri ini berjaya mencapai keputusan kelulusan 100 peratus, manakala 14 buah lagi pencapaian melebihi 91 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan STPM negeri Kelantan 2016 di Bilik Mesyuarat Bunga Raya, Jabatan Pendidikan negeri semalam.

Dalam pada itu, Muhamad Zahari berkata, pada tahun ini, seramai 43 calon memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 berbanding 23 calon, tahun sebelumnya.

“Manakala calon yang mendapat PNGK 3 ke atas pula adalah seramai 1,467 calon berbanding 1,252 calon pada tahun lalu.

“Tahun ini juga, Kelantan mempunyai dua wakil pelajar terbaik peringkat Nasional iaitu Mohamad Rozani Mohd. Rosli (5 prinsipal) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa Pasir Puteh dan Mohamad Azri Mohd. Yusoff dari SMK Sultan Ibrahim 1, (4 prinsipal) Pasir Mas,” katanya.

Tambah beliau, untuk tahun ini, sebanyak dua buah sekolah di negeri itu telah dipilih dan dianugerahkan dalam kalangan 10 sekolah terbaik di peringkat nasional.

“Dua sekolah berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri, Kota Bharu dengan PNGK 3.29 dan SMK Sultan Ismail 2, Pasir Mas dengan PNGK 3.24.

“Seramai 3,564 calon mengambil peperiksaan STPM tahun lalu di mana 3,556 daripadanya adalah dari sekolah bantuan penuh kerajaan manakala selebihnya adalah calon sekolah swasta dan calon persendirian,” katanya. – 1 Mac 2017.