Kerajaan PAS Kelantan Tiada Idea Kata Husam

Bekas Exco kanan kerajaan PAS Kelantan, Datuk Husam Musa menyifatkan kerajaan negeri itu ketandusan idea dalam merangka pelan pembangunan ekonomi untuk kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, mereka hanya membebankan rakyat dengan menaikkan pelbagai jenis cukai.

“Sepatutnya dengan sumber kekayaan negeri dan keupayaan rakyat Kelantan kita sewajarnya sudah jauh ke hadapan dalam pelbagai industri.

“Apa yang berlaku, pihak kerajaan gagal mengutamakan keperluan rakyat dan asyik leka dengan imbuhan dan kemewahan peribadi,” katanya dalam satu program anjuran pemuda PAN Kelantan.

Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan masalah pengurusan sampah yang semakin kronik tanpa sebarang penyelesaian.

Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Salor), kerajaan negeri gagal memanfaatkan hasil daripada bahan terbuang.

“Di negara lain, sampah dikitar semula menjadi bahan-bahan bermanfaat yang mendatangkan hasil lumayan.

“Dulu telah ada syarikat yang datang menawarkan pengurusan sampah yang menguntungkan ini namun kelihatannya tidak diurus.

“Boleh tanya Datuk Taki (Takiyuddin Hassan) ahli parlimen tuan-tuan kerana perkara ini masa dia jadi exco PBT lagi,” katanya. – 1 Mac 2017.