Mufti Saran Lelaki Berkemampuan Supaya Cepat Kahwin

Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menyarankan lelaki yang berkemampuan supaya cepat berkahwin untuk memperoleh zuriat.

Katanya, ia secara tidak angsung menambah bilangan penduduk terutama di negeri itu (Perlis).

Beliau berkata, Islam menuntut lelaki yang berkemampuan zahir dan batin berkahwin dan tidak wajar melengahkannya kerana sikap demikian menyebabkan bilangan umat Islam lambat bertambah.

“Saya harap mereka berani menyahut cabaran ini namun mereka juga perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan selain bertanggungjawab,” kata Mohd. Asri dalam cermahnya di Kangar malam tadi.

Beliau turut menasihatkan golongan muda yang bekerja dan mencari rezeki di Perlis supaya memilih gadis-gadis negeri itu sebagai isteri dan terus menetap di Perlis agar matlamat menambah bilangan penduduk tercapai.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap ibu bapa tidak meletakkan hantaran atau belanja tinggi perkahwinan anak-anak gadis mereka sehingga membebankan pihak lelaki.

“Hantaran perkahwinan adalah adat sedangkan Islam hanya menuntut mas kahwin,” katanya.

Tambahnya, ibu bapa seharusnya mengutamakan kesejahteraan jangka panjang anak-anak dengan berusaha mencegah kemungkaran. – 1 Mac 2017.