Kerajaan PAS Kelantan Perlu Bertindak Segera Cegah Peningkatan Kes HIV

Kerajaan PAS Kelantan perlu mengumumkan pelan tindakan segera dalam usaha mencegah kes HIV yang dikatakan semakin meningkat di negeri itu.

Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, peningkatan kes itu amat membimbangkan dan ia harus dibendung segera oleh kerajaan negeri.

“Sebagai seorang pemimpin di negeri ini, saya amat terkejut dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat yang menyatakan berlaku peningkatan kes HIV di negeri ini berpunca daripada gejala songsang seperti homoseksual dan hetroseksual.

“Bagi saya ini adalah amat serius kerana selama ini kita beranggapan kes HIV di negeri ini berpunca daripada berkongsi jarum suntikan saja tapi ia juga akibat perbuatan seks luar tabii,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Outreach Pendidikan Kesihatan dan Hari Terbuka Asrama Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Lembah Sireh hari ini.

Baru-baru ini, Masir mendedahkan seramai 40 orang yang mengamalkan hetroseksual di negeri Serambi Mekah itu dijangkiti HIV pada 2015 dan meningkat kepada 50 orang pada 2016.

Bagi kes homoseksual, pada 2015 mencatatkan angka 10 orang dan meningkat kepada 20 orang untuk 2016.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, kerajaan negeri perlu bertanggungjawab dan tidak menyerahkan kepada Kerajaan Pusat semata-mata mengenai isu berkenaan. – 2 Mac 2017.