Warga Korea Utara Dikenakan Visa Berkuatkuasa 6 Mac Ini

Semua warga Korea Utara yang ingin memasuki Malaysia dikenakan visa berkuatkuasa 6 Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan yang akan diwartakan segera itu dibuat selepas mengambil kira faktor keselamatan negara sebagai keutamaan.

“Diharap langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini akan dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen demi keselamatan negara,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan diberi taklimat oleh penasihat perundangan KDN dan pejabat Peguam Negara berhubung status pakar kimia yang ditahan berhubung kematian Kim Jong-nam.

“Kita akan tahu dalam beberapa jam lagi sama ada lelaki berkenaan akan dibebaskan atau siasatan akan dijalankan mengikut Akta Imigresen atau dihantar pulang,” katanya.

Jong-nam adalah abang tiri pemimpin Korea Utara yang maut dalam insiden pembunuhan di KLIA2 pada 13 Februari. – 2 Mac 2017.