Angkuh Memang Perangai DAP Sejak Dulu

Penasihat DAP, Lim Kit Siang seolah-olah tidak sedar diri apabila cuba memainkan sentimen melibatkan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan membandingkan pucuk pimpinan PAS terdahulu dengan sekarang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, Kit Siang mungkin tidak sedar, perangai buruk DAP iaitu angkuh dan tidak boleh bertolak ansur masih juga belum berubah sejak sekian lama.
Katanya, DAP kini berlagak seolah-olah parti itu menjadi mangsa buli PAS sedangkan suatu ketika dulu, ketika Nik Abdul Aziz masih hidup, mereka tergamak meninggalkan perjuangan Barisan Alternatif (BA) kerana isu Malaysia sebagai negara Islam.
“Jangan ambil kesempatan nak salahkan PAS, tengok diri sendiri siapa yang keluar dari kerjasama politik sebanyak dua kali. DAP, bukan kita.
“Masa zaman Tuan Guru (Nik Abdul Aziz) ada dulu pun DAP pernah keluar daripada Barisan Alternatif kerana isu negara Islam. Sekarang dia keluar lagi kerana isu hudud,” katanya.
Kit Siang cuba meraih simpati penyokong PAS dengan memainkan sentimen melibatkan Nik Abdul Aziz dan mendakwa politik ‘nakal’ dimainkan pemimpin PAS sekarang tidak akan terjadi jika ulama itu masih hidup.
Menurut Kit Siang, Nik Abdul Aziz tidak akan merelakan sebarang muslihat atau pengkhianatan politik, terutamanya oleh pemimpin PAS.
Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, PAS tidak pernah mengeksploitasi sebarang isu atau masalah dihadapi DAP sebagaimana kes mahkamah melibatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Sehubungan itu kata beliau, DAP perlu berhenti menyerang PAS secara terbuka dan membuat ketetapan siapa lawan sebenar mereka. – 3 Mac 2017.