Keperluan Asas Rakyat Harus Diberi Keutamaan Berbanding RUU 355

Memenuhi keperluan asasi rakyat harus diberi keutamaan terlebih dahulu berbanding Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016, kata Dr. Mohd. Kamil Abd. Majid.

Pensyarah Jabatan Akidah Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM) itu tidak menafikan manfaat pindaan Akta 355 namun pada masa sama rakyat memerlukan makanan dan kediaman.

“RUU (355) bagus tapi beri kenyang rakyat dan beri rumah kepada rakyat lebih aula masa ini,” katanya dipetik laman Facebook miliknya.

Beliau juga berpendapat, hanya rakyat yang tidak memiliki rumah dan tiada makanan mencukupi lebih memahami realiti berkenaan.

RUU 355 yang dibawa Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi polemik sehingga mencetus pertikaian antara parti politik di negara ini. – 3 Mac 2017.