‘Ops Lejang’ Tahan 13 Individu

Polis merampas 12 buah kenderaan dan menahan 13 individu dalam operasi ‘Ops Lejang’ yang dilancarkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh selama empat hari  bermula 26 Februari lepas.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Abdul Rozak Muhammad berkata, mereka yang ditahan berumur di antara 14 hingga 31 tahun termasuk lima daripadanya dikesan positif dadah.

Beliau berkata, antara yang ditahan turut mempunyai rekod lampau terlibat dalam kes kecurian kenderaan dan dikehendaki.

“Sepanjang operasi ini dibuat, kita telah merampas empat buah kereta dan lapan motosikal dalam beberapa serbuan di sekitar Pasir Puteh.

“Hasil siasatan yang dilakukan ke atas  kenderaan berkenaan, didapati nombor enjin serta casis telah diubah,” katanya dalam sidang akhbar di Pasir Puteh semalam.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan direman selama empat hari bermula dari tarikh ditangkap.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 379 A atau 291 Kanun Keseksaan,” katanya. – 3 Mac 2017.