4.1 Juta Rakyat Malaysia Belum Daftar Sebagai Pengundi

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Abdullah memberitahu, 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum berdaftar sebagai pengundi setakat Februari lepas.

Beliau berkata, ia merangkumi pelbagai kaum yang majoritinya terdiri daripada golongan muda berumur sekitar 21 tahun.

Katanya, SPR kini mengambil pendekatan dengan bekerjasama bersama agensi swasta bagi menganjurkan pelbagai program dalam menarik minat rakyat untuk berdaftar sebagai pengundi terutama kepada golongan sasar.

“Berdasarkan statistik terkini itu, kira-kira 45 peratus daripada rakyat Malaysia adalah golongan muda dan lebih empat juta daripadanya tidak berdaftar sebagai pengundi dan ini adalah satu kebimbangan.

“Jika tidak berdaftar sebagai pengundi, tidak guna bercakap di media sosial (berkaitan situasi politik negara), kalau apa yang dicakapkan itu tidak diterjemah dalam bentuk undi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Pendaftaran Pengundi di Kompleks Media Kumpulan Karangkraf di Shah Alam semalam.

Mohd Hashim berkata, antara faktor golongan muda tidak berdaftar sebagai pengundi adalah disebabkan mereka tidak memahami kepentingan kuasa rakyat.

Beliau memberitahu, pihaknya akan menggerakkan kempen selama tiga bulan untuk mendekati rakyat yang belum berdaftar sehingga ke akar umbi bagi memberi kefahaman mengenai kepentingan menjadi pengundi.

“SPR akan tumpukan di kawasan yang rakyat sukar keluar untuk mendaftar pengundi seperti di luar bandar selain di pusat beli-belah di bandar-bandar utama. Usaha ini bagi memastikan lebih empat juta belum berdaftar itu dapat menunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru pengundi berdaftar supaya lebih serius dalam menunaikan tanggungjawab kepada negara dengan keluar mengundi semasa pilihan raya diadakan.

Ini kerana katanya, peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya hanya mencapai sehingga 75 peratus dan tidak pernah mencecah 100 peratus atau lebih 90 peratus.

“Sebagai contoh semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak baru-baru ini, hanya 68 peratus sahaja yang keluar mengundi, mana lagi baki 22 peratus. Disebabkan itu, kita kena serius dalam hal ini jika mahu menegakkan demokrasi di negara kita,” katanya. – 4 Mac 2017.