KKLW Peruntukkan RM40 Juta Untuk Bekalan Air Bersih

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan RM40 juta untuk menyediakan bekalan air bersih bagi keperluan penduduk luar bandar di Kelantan pada tahun ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, peruntukan tersebut akan digunakan untuk melaksanakan projek Sistem Retikulasi Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di beberapa kawasan terpilih.

Beliau berkata, projek berkenaan mendapat kerjasama dari Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang bertindak sebagai peneraju.

“Peruntukan untuk projek BALB tahun ini adalah sebanyak RM40 juta dan jumlah itu lebih tinggi berbanding RM13 juta tahun lalu. Peruntukan berkenaan akan dilaksanakan di kawasan yang lebih memerlukan.

“Kita akan berbincang dengan AKSB bagi melihat di mana kawasan yang lebih utama selain melihat keperluan lain terutamanya paip lama yang perlu ditukar baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek BALB Sistem Retikulasi Negeri Kelantan di Kampung Pangkal Jetas, Machang.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKLW, Datuk Dr. Ahmad Jailani Mohamed Yunus dan Pengurus Besar AKSB, Ir. Wan Zamri Wan Ismail.

Ahmad Jazlan berkata, projek BALB ini adalah salah satu usaha kerajaan pusat untuk membantu memulihkan masalah air di negeri itu.

“Melalui projek BALB ini, rakyat bukan sahaja mendapat kemudahan air bersih malah dapat menjimatkan kos sehingga RM5,000 bagi setiap rumah.

“Dengan BALB, setiap rumah hanya perlu membayar RM75 untuk deposit meter,” katanya. – 4 Mac 2017.