Mukhriz Dakwa Ada Pihak Cuba Gagalkan Kerjasama PPBMPAS

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa terdapat segelintir pihak di dalam PAS yang bertindak nakal cuba menggagalkan kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.

Bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, pada masa ini, PPBM dan PAS masih meneruskan rundingan malah setiap kali pertemuan rasmi diantara kedua-dua pihak diadakan ia berjalan dengan baik dan cukup mesra.

Malah katanya, langkah-langkah ke arah kerjasama kedua-dua parti tersebut dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menampakkan perkembangan positif.

“Tetapi sesetengah pihak tidak terlibat di dalam rundingan tersebut sering kali mengeluarkan kenyataan-kenyataan untuk melihat kerjasama PAS dan PPBM tidak menjadi kenyataan,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan borang ahli UMNO masuk PPBM semalam.

Baru-baru ini, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberikan isyarat kerjasama antara partinya dengan PPBM mungkin tidak direalisasikan berdasarkan hubungan semasa PPBM membabitkan DAP serta PAN, meskipun wujud perbincangan mengenainya.

Mukhriz memberitahu, PPBM masih belum menutup pintu rundingan dengan PAS meskipun tempoh sebulan yang diberikan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini bakal berakhir 17 Mac depan.

Bagaimanapun katanya, PPBM akan meneruskan persiapannya dalam menghadapi PRU-14 bersama Pakatan Harapan.

“Kita akan teruskan persiapan dengan Pakatan Harapan tetapi apabila PAS sudah membuat keputusan yang memungkinkan untuk bekerjasama dengan kita, pintu akan sentiasa terbuka,” katanya. – 4 Mac 2017.