Jambatan Baharu Pemberian Dijangka Siap November Tahun Depan

Pembinaan semula jambatan baharu di Kampung Pemberian, Kuala Krai yang runtuh akibat bah kuning pada penghujung 2014 dijangka siap pada November tahun hadapan.

Timbalan Menteri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, kerja-kerja awal bagi pembinaan jambatan tersebut telah bermula sejak November  lalu.

“Untuk pembinaan jambatan baharu Kampung Pemberian ini, KKLW telah memperuntukkan hampir RM30 juta dan pembinaannya mengambil masa dua tahun.

“Jambatan baharu sepanjang 250 meter ini akan membantu memudahkan lebih 2,000 penduduk kampung untuk keluar masuk,” katanya selepas Majlis Perletakan Batu Asas Jambatan Kampung Pemberian, semalam.

Sebelum ini, jambatan sementara yang menghubungkan Kampung Pemberian dengan Kampung Manjor telah dibina sebanyak dua kali namun mengalami kerosakan teruk akibat dilanda arus derasJambatan .

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, setakat ini, KKLW telah memperuntukkan kira-kira RM70 juta untuk pembinaan jambatan Kampung Pemberian dan jambatan Pulau Setelu.

“Kedua-dua projek jambatan berkenaan telah dilaksanakan dan sedang dalam pembinaan.

“Manakala satu lagi projek yang telah diluluskan ialah jambatan yang menghubungkan Machang dan Tanah Merah yang bernilai RM50 juta,” katanya. – 5 Mac 2014.