Mukhriz Janji Mansuh GST

GST antara isu yang akan terus dimainkan pembangkang dalam usaha menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum – 14 (PRU14).

Malah mereka menjanjikan cukai tersebut akan dimansuhkan sekiranya diberi mandat memerintah negara.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, GST akan dimansuhkan beransur-ansur dan digantikan dengan sistem pencukaian yang lebih adil.

“Saya nak beri sedikit gambaran, apa jenis kerajaan nak kami tubuhkan, insya-Allah bersama dengan PAS sebenarnya, sebuah kerajaan dengan izin ALLAH SWT dan mandat diberikan rakyat pada PRU14.

“Saya bukan nak mendahului keputusan PRU, kalau kita boleh bayangkan, BN ditumbangkan dan kerajaan baharu ditubuhkan, perkara pertama kita nak buat ialah mansuhkan GST.

“GST sekarang ini semua orang kena, orang sakit yang terlantar di rumah, nak beli lampin pakai buang pun kena bayar enam peratus, janganlah kita bebankan orang susah.

“Cukai ini tidak sepatutnya dikenakan pada orang berpendapatan rendah,” katanya berucap dalam Ceramah Mega Anak Muda Pertahankan Kelantan 4.0, Selamatkan Malaysia daripada UMNO di Pasar Wakaf Bharu. – 5 Mac 2017.