Penduduk Bantah Projek Sedut Pasir

Penduduk dan nelayan membantah projek menyedut pasir di hadapan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar dan meminta ia dikaji semula bagi mengelak masalah terutama debu.

Wakil penduduk dan nelayan, Nik Mohd. Kamal Husin, 49, mendakwa, projek itu menyebabkan lebih 2,000 penduduk terganggu dengan kehadiran lori dan masalah debu tebal ketika panas.

“Kami merayu supaya kerajaan negeri buatlah kajian semula dengan projek sedut pasir ini kerana ia beri masalah apabila lori keluar masuk mengambil pasir di hadapan LKIM.

“Usaha ini juga turut menjejaskan kesihatan penduduk berikutan debu berterbangan semasa kerja mengorek pasir,” katanya selepas mengadakan bantahan terhadap projek tersebut.

Lebih 200 penduduk dan nelayan menyertai bantahan itu meminta Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob turun meninjau secara dekat permasalahan yang dihadapi.

Nik Mohd. Kamal berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyelesaikan masalah muara cetek yang menyukarkan bot melalui tempat itu untuk keluar laut.

“Lebih baik selesaikan masalah cetek dengan memperdalam muara yang membelenggu nelayan bertahun lamanya,” dakwanya.

Sementara itu, wakil penduduk Nik Mustapa Nik Leh, 54, mendakwa, bantahan itu tidak bermaksud mereka halang pembangunan, tetapi mahu kerajaan negeri lebih prihatin dengan masalah nelayan.

“Nelayan Kuala Besar kini terpaksa menggunakan perahu kecil dalam 500 meter untuk sampai ke laut disebabkan muara cetek,” katanya. – 5 Mac 2017.