Pusat Mahu Bantu Kelantan Tangani Isu Orang Asli

Kerajaan Pusat menawarkan diri untuk membantu kerajaan PAS Kelantan mencari jalan penyelesaian kepada isu bantahan masyarakat Orang Asli terhadap aktiviti pembalakan di sekitar Gua Musang yang berterusan sejak sekian lama.

Menurut Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed, konflik antara kerajaan negeri dan Orang Asli dikhuatiri berpanjangan jika langkah penyelesaian jangka panjang tidak dilaksanakan dengan segera.

“Kita sedang mengumpul fakta dan meneliti laporan setiap pihak iaitu polis, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta wakil rakyat di Gua Musang kerana terlalu banyak fakta yang bercanggah.

“Jika mahu selesai isu ini maka harus ada pertemuan antara Pusat dengan negeri untuk bincangkan masalah sebenar, fahami isu dan dengar cadangan. Kemudian kita muktamadkan satu pelan bagi menangani isu yang dibangkitkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MTPNK di Jabatan Pembangunan Persekutuaan (JPP) negeri hari ini.

Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri memberitahu, setakat ini tiada pertemuan secara rasmi melibatkan pihaknya dengan kerajaan negeri.

“Segala maklum balas kerajaan negeri seperti kenyataan Menteri Besar, kita hanya baca menerusi akhbar dan media sahaja. Kita kena buat pertemuan supaya lebih jelas,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, penduduk Orang Asli dilaporkan membina beberapa sekatan bagi menghalang kayu balak dikeluarkan daripada kawasan hutan di Gua Musang.

Tindakan tersebut mencetuskan ketegangan antara masyarakat Orang Asli dengan pembalak dan pihak berkuasa.

Walaupun ada antara mereka ditahan pihak berkuasa dan sekatan tersebut diruntuhkan beberapa kali, masyarakat tersebut tetap membina sekatan baharu dengan alasan mahu mempertahankan kawasan yang didakwa milik nenek moyang mereka. – 5 Mac 2017.