Hubungan Dengan Korea Utara Kini Tidak Sama

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Korea Utara kini tidak seperti sebelum pembunuhan Kim Jong-nam, bulan lalu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, insiden tersebut telah memberi kesan kepada kedua-dua negara.

“Keadaan tidak lagi sama,” katanya ringkas selepas menghadiri sesi perasmian sidang Parlimen ke-13 hari ini.

Sabtu lepa, duta Korea Utara, Kang Chol diisytiharkan sebagai persona non grata dan diminta meninggalkan negara ini dalam masa 48 jam.

Kang Chol diminta ke Wisma Putra pada pukul 6 petang pada hari yang sama tetapi gagal berbuat demikian.

Kerajaan Malaysia juga menuntut permohonan maaf bertulis daripada Korea Utara kerana tuduhan yang dibuat dutanya mengenai siasatan pembunuhan Jong-nam di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

Jong-nam dibunuh dua wanita dipercayai menggunakan agen saraf VX ketika menunggu pesawat ke Macau di KLIA2 pada 13 Februari lalu.

Pada 1 Mac, rakyat Vietnam, Doan Thi Huong dan warga Indonesia, Siti Aisyah telah didakwa kerana membunuh. – 6 Mac 2017.