Pegawai Kedutaan Korea Utara Disekat Keluar Daripada Malaysia

Malaysia mengeluarkan arahan serta-merta melarang kakitangan dan pegawai Kedutaan Korea Utara daripada meninggalkan negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia sebagai tindakan susulan selepas Pyongyang bertindak menghalang pegawai dan kakitangan Kedutaan Malaysia meninggalkan Korea Utara.

Beliau berkata, Malaysia tidak berhasrat untuk membuat tindakan balas terhadap apa yang dilakukan Pyongyang, namun ia adalah mesej jelas membuktikan ketegasan kerajaan Malaysia dalam menjaga keselamatan rakyatnya.

“Ini adalah arahan serta merta yang dikeluarkan kepada Jabatan Imigresen. kita tidak berhasrat lakukan tindakan balas terhadap apa yang Korea Utara lakukan kepada kita.

“Saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bawa tindakan dilakukan oleh Korea Utara ini dalam mesyuarat Kabinet,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini. – 7 Mac 2017.