PM Gesa Segera Bebaskan Rakyat Malaysia Di Korea Utara

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Korea Utara membebaskan semua rakyat Malaysia dengan segera bagi mengelak situasi diplomatik kedua negara lebih tegang.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau juga telah memanggil mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Nasional.

“Tindakan yang menahan rakyat negara kita sebagai tahanan adalah sesuatu yang hina dan tidak dapat diterima terutama daripada segi perundangan antarabangsa.

“Sebagai negara yang mengutamakan keamanan, Malaysia komited untuk mengekalkan hubungan baik dengan semua negara.

“Bagaimanapun, melindungi rakyat Malaysia adalah aspek utama dan kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang langkah perlu jika mereka diancam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, telah mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk melarang semua warga Korea Utara keluar daripada negara ini sehingga keselamatan rakyat negara ini di Korea Utara terjamin.

“Saya meminta pemimpin Korea Utara supaya membenarkan rakyat Malaysia meninggalkan negara itu bagi mengelak situasi yang bertambah buruk,” katanya.

Media hari ini melaporkan di tengah-tengah ketegangan hubungan diplomatik antara kedua negara Pyongyang mengharamkan semua rakyat Malaysia di Korea Utara meninggalkan negara itu.

Susulan itu, Malaysia turut mengambil tindakan sama, tidak membenarkan pegawai dan kakitangan di Kedutaan Korea Utara keluar dari negara ini berkuat kuasa serta merta. – 7 Mac 2017.