1,093 Penjawat Awam Diisytihar Bankrap

Dewan Rakyat hati imi diberitahu seramai 1,093 penjawat awam diisytihar bankrap tahun lalu berbanding 960 orang tahun sebelumnya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, 606 kes kebankrapan melibatkan golongan itu direkodkan pada 2014 dan 617 pada 2013, menjadikan 3,276 penjawat awam diisytihar bankrap dari 2013 hingga 2016.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, rekod Jabatan Insolvensi Malaysia bagi 2013-2016 menunjukkan 82,383 individu telah diisytihar bankrap oleh mahkamah.

Daripada jumlah itu, Selangor mencatat bilangan tertinggi iaitu 22,593 kes manakala Perlis mencatat kes terendah iaitu 354.

Dalam pada itu, Azalina berkata Rang Undang-Undang Kebankrapan (Pindaan) 2016 yang telah dibaca kali pertama pada 21 Nov tahun lalu akan dibaca buat kali kedua pada sidang kali ini.

Rang undang-undang itu antara lain akan memberi tumpuan kepada penjamin sosial iaitu mereka yang menjadi penjamin kepada geran pendidikan, sewa beli kenderaan dan pinjaman perumahan. – 8 Mac 2017.