Polis Tanah Merah Buru Sepasang Suami Isteri ‘Master Mind’ Jenayah Pecah Rumah

Beberapa kes pecah rumah yang berlaku di Tanah Merah akan dapat diselesaikan dengan tertangkapnya seorang suspek di Kampung Padang Siam semalam.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, suspek berusia 18 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan di sebuah rumah sewa pada pukul 11.45 malam.

Katanya, hasil pemeriksaan dijalankan, polis merampas beberapa barangan dipercayai hasil pecah rumah termasuk tong gas dan minyak masak serta peralatan yang digunakan bagi melakukan jenayah tersebut.

“Susulan tangkapan ini, kita sedang mengesan sepasang suami isteri yang tinggal bersama suspek di rumah sewa itu dan dipercayai menjadi ‘mastermind’ bagi beberapa kes pecah rumah di daerah ini.

“Melihat kepada barangan dan peralatan dirampas, kita yakin dapat selesaikan beberapa kes pecah rumah di Padang Siam dan Manal yang sebelum ini tular dalam laman sosial,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Suzaimi berkata, modus operandi mereka adalah dengan menyewa rumah di kawasan tertentu bagi mengaburi pihak berkuasa sebelum melakukan kegiatan pecah rumah.

“Mereka ini berasal dari Pasir Mas dan menjadikan daerah ini sebagai kawasan untuk melakukan jenayah. Mereka dipercayai baharu sebulan menyewa rumah terbabit.

“Setakat ini, kumpulan ini dipercayai terlibat dalam empat kes pecah rumah dan satu kes pecah masuk kedai runcit di daerah ini dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

Tambahnya, suspek yang ditahan direman untuk siasatan lanjut selama empat hari, bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Suzaimi memberitahu, pihaknya berjaya menahan lima lelaki berusia antara 21 dan 35 tahun atas kesalahan memiliki dan menagih dadah.

Katanya, tangkapan dibuat dalam operasi tiga hari, bermula Ahad lalu, menggabungkan Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Ketua Polis Balai, Ibu pejabat Polis daerah ini.

“Susulan tangkapan lima lelaki ini, kita turut merampas sejumlah lebih 500 pil dipercayai dadah jenis Methamphetamine dan Erimin 5 serta air ketum,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak empat kertas siasatan dibuka iaitu satu kes di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tiga kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) akta sama. – 8 Mac 2017.