Politeknik Malaysia Lahir 500,000 Graduan

Politeknik Malaysia berjaya melahirkan lebih 500,000 graduan dalam Bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) sejak ia diperkenalkan pada tahun 2011.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik, Datuk Amir Md. Noor berkata, jumlah tersebut membabitkan 34 buah politeknik di seluruh negara.

“Menerusi TVET, graduan berupaya untuk menggunakan kemahiran dan bakat yang ada bukan sahaja untuk mendapat pekerjaan yang bagus serta mampu mencipta peluang pekerjaan.

“Dalam erti kata lain, lepasan Institusi Pendidikan Tinggi termasuk Politeknik tidak lagi bergantung kepada pekerjaan di sektor kerajaan atau swasta semata-mata,” katanya.

Dalam pada itu, Amir berkata, hampir 90 peratus pelajar politeknik berjaya menempatkan diri dalam pasaran kerja selepas enam bulan menamatkan pengajian masing-masing.

“Jumlah berkenaan adalah termasuk dengan mereka yang berjaya mencipta dan menjana pendapatan sendiri.

“Manakala selebihnya adalah graduan yang mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya. – 8 Mac 2017.