SPRM Lipatganda Perangi Rasuah Seiring Titah Yang Di-Pertuan Agong

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melipatgandakan usaha bagi memerangi penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, surunhanjaya itu juga bertekad akan membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan seiring dengan titah baginda.

“Sebagai satu-satunya agensi penguat kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk memerangi rasuah di negara ini, SPRM akan memastikan titah Seri Paduka terlaksana sepenuhnya menggunakan segala kemampuan yang ada,” katanya dalam satu kenyataan.

Sultan Muhammad V dalam titah baginda ketika perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-13 di Dewan Rakyat, menzahirkan rasa dukacita kerana masih berlaku penyelewengan, ketirisan dan rasuah serta pembocoran maklumat kerajaan yang melibatkan penjawat dan bekas penjawat awam.

Baginda bertitah, walaupun kegiatan itu dilakukan segelintir mereka yang terbabit, namun ia menghakis kepercayaan rakyat kepada kerajaan.

Dzulkifli berkata, SPRM menjunjung titah Seri Paduka sebagai satu cabaran untuk melaksanakan tugas memerangi rasuah dengan lebih komited dan efisien.

Sehubungan itu beliau berharap rakyat Malaysia khususnya seluruh jentera kerajaan untuk bersama-sama tanpa kompromi, berganding bahu bersama SPRM untuk melaksanakan titah baginda. – 8 Mac 2017.