Aksem Rampas Pelbagai Jenis Mercun Bernilai RM280,000

Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan berjaya merampas pelbagai jenis mercun dan bunga api seberat 6,750 kg yang dianggarkan bernilai RM280,000 dalam satu operasi di Ayer Lanas, Jeli petang semalam.

Komander Aksem negeri, Mohd. Asri Yahya berkata, pada pukul 6 petang semalam, sepasukan Aksem Bukit Bunga mengekori sebuah lori kanvas tiga tan dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu dari Jalan Bukit Bunga menghala ke Jeli.

“Apabila menyedari mereka diekori, pemandu lori tersebut memecut laju ke sebuah ladang getah di Ayer Lanas namun tersekat berikutan jalan mati.

“Pemandu dan kelindan berjaya melarikan diri ke kawasan bukit berhampiran. Ketika itu juga, pasukan penguat kuasa menemukan sebuah lagi lori kanvas lima tan yang telah ditinggalkan tidak jauh dari situ.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori pertama membawa kepada penemuan 110 bungkusan hitam mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api manakala sebanyak 160 bungkusan lagi ditemukan dalam lori kedua,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mohd. Asri berkata, mercun dan bunga api berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran menerusi pengkalan haram di sekitar Rantau Panjang untuk dihantar ke negeri-negeri di Pantai Barat sempena sambutan Aidilfitri.

“Walaupun sambutan Hari Raya masih lambat lagi, mereka menjalankan kegiatan tersebut lebih awal beberapa bulan kerana mahu mengaburi mata pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut mendapati kedua-dua lori terbabit yang dianggarkan bernilai RM120,000 menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai merupakan kenderaan curi,” katanya.

Beliau turut memberitahu, kes tersebut diserah kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967. – 9 Mac 2017.