Datuk Seri Vida Didenda RM500

Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret Ipoh, semalam selepas beliau mengaku bersalah atas tuduhan gagal mengemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (Borang B) kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN dalam kenyataannya berkata, Hasmiza atau lebih dikenali dengan Datuk Seri Vida, 46, diarah membayar denda itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Siti Hanum Mohamad Sah.

Siti Hanum turut menetapkan penjara dua hari sekiranya pengasas produk kecantikan Vida Beauty Sdn. Bhd. itu gagal membayar denda tersebut.

Beliau kemudian membayar denda tersebut dan berjanji akan mengemukakan Borang B taksiran tahun 2011 dalam tempoh sebulan dari tarikh jatuh hukum.

Hasmiza didakwa gagal mengemukakan Borang B bagi tahun taksiran 2011 walaupun notis akhir di bawah Seksyen 78 (a) Akta Cukai Pendapatan 1967 telah diserahkan kepadanya.

Pendakwaan dikendalikan Peguam Hasil, Norhidayah Mohamad Anas.

Disember lalu, Hasmiza mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Sementara itu, mahkamah menetapkan 9 dan 10 Mac ini untuk tarikh perbicaraan bagi 16 pertuduhan gagal membayar GST selepas Hasmiza mengekalkan pengakuan tidak bersalah Oktober lalu. – 9 Mac 2017.