Isu BR1M, SSM – 705,562 Penerima Dibayar Melalui Akaun Minggu Depan

Seramai 705,562 penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang ditolak permohonan atas alasan memiliki lesen Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menerima bayaran masing-masing melalui akaun bank minggu hadapan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Ibrahim memberitahu perkara itu dalam sidang media di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan mereka yang pernah menerima bantuan tersebut tahun lalu dan telah mendaftar dengan SSM lebih awal lagi.

Bagaimanapun katanya, mereka terbabit perlu mengemukakan penyata kewangan atau lampiran pendapatan sebagai syarat untuk menerima baki bantuan tersebut pada Jun depan.

“Mereka isi borang tapi tidak ada pengesahan dokumen dan apabila dokumen tidak ada pengesahan macam mana Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hendak proses,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial isu permohonan BR1M yang ditolak atas alasan mendaftar dengan SSM.

Rata-rata pemohon meluahkan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan mengapa pada tahun ini permohonan mereka ditolak, sedangkan mereka menerima bantuan tersebut pada tahun sebelum itu.

Sementara itu, Johati berkata, kira-kira 600,000 permohonan baharu BR1M bagi tahun ini ditolak kerana pendapatan mereka melebihi RM4,000.

“Kita terpaksa tolak 600,000 permohonan sebab gaji mereka melebihi RM4,000.

“Oleh sebab itu kita perlukan pengesahan kerana kita tak mahu kerajaan salurkan RM700 juta pada mereka yang tidak sepatutnya,” katanya. – 9 Mac 2017.