PAS, PPBM Runding Pembahagian Kerusi PRU14

Kerjasama PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dilihat semakin akrab apabila kedua-dua parti itu akan mengadakan rundingan mengenai pembahagian kerusi Pilihan Raya Umum – 14 (PRU14).

Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PAS telah menjemput parti itu bagi tujuan tersebut

“Jika sebelum ini tiada sebarang hubungan bersama-sama PAS namun, kini mereka (PAS) telah menjemput kami untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PPBM.

Muhyiddin bagaimanapun tidak mengulas lanjut jemputan itu sebaliknya berkata PPBM akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.

Dalam pada itu beliau berkata, PPBM telah mengenal pasti kerusi yang mahu ditandinginya dalam pilihan raya umum tetapi tidak mendedahkan jumlah kerusi tersebut.

Pada Februari lalu satu mesyuarat Jawatakuasa Induk Bersama antara PAS dan PPBM telah diadakan yang diketuai Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mesyuarat itu memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik PAS – PPBM dalam menghadapi PRU14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti. – 9 Mac 2017.