Vida Bayar Cukai RM4.2 Juta, Semua Pertuduhan Ditarik Balik

Semua pertuduhan terhadap jutawan kosmetik Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman ditarik balik selepas beliau membayar semua Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi tempoh April 2015 hingga Julai 2016.

Pengasas Vida Beauty Sdn Bhd itu bebas daripada 16 pertuduhan di Mahkamah Majistret Ipoh, hari ini selepas Hakim Murtazadi Amran membenarkan permohonan pihak Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran untuk menarik semua pertuduhan ke atasnya selepas mempertimbangkan pembayaran keseluruhan tuntutan cukai berjumlah RM4.2 juta.

Pada 13 Oktober 2016, pengasas produk kosmetik yang lebih dikenali dengan Dr. Vida didakwa dengan 32 pertuduhan kerana gagal mengemukakan penyata dan membayar GST untuk tempoh berkenaan serta mengaku tidak bersalah untuk semua pertuduhan.

Beliau bagaimanapun menukar pengakuan kepada bersalah pada 15 Disember 2016 untuk 16 pertuduhan dan dikenakan denda RM80,000.

Pagi ini, pihak pendakwaan menarik semula semua pertuduhan berikutan perkembangan terbaru mengenai pembayaran tuntutan cukai berkenaan yang dibuat kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia. – 9 Mac 2017.