227 Unggas Dilupuskan Akibat H5N1

Gara-gara penularan wabak selesema burung (H5N1) di Kampung Pulau Tebu, Tunjong, sejak minggu lalu, sebanyak 227 unggas terdiri daripada ayam, angsa dan burung merpati serta 253 biji telur haiwan tersebut telah dilupuskan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, sejak wabak itu dikesan minggu lalu, sebanyak lima ternakan didapati positif H5N1.

Bagaimanapun katanya, tiada kes baharu dilaporkan setakat ini.

“Kesemua 227 unggas berkenaan dilupuskan pada waktu malam dengan kerjasama petugas daripada Kementerian Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan pihak polis,” katanya ketika ditemui pemberita, semalam.

Terdahulu, Che Abdullah menghadiri mesyuarat khas bersama agensi berkaitan di pejabatnya bagi menangani kes penularan wabak H5N1 tersebut.

Sebelum ini, Kerajaan PAS Kelantan mengesahkan kewujudan wabak selesema burung selepas tiga ekor ayam kampung yang mati secara misteri dilaporkan positif H5N1 di Kampung Pulau Tebu.

Dalam masa sama, enam kakitangan Jabatan Makmal Veterinar yang terdedah secara langsung dengan ujian berkenaan turut dikuarantin selama 24 jam di Hospital Tumpat.

Susulan itu, kerajaan negeri menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Kawalan Penyakit Haiwan bagi menangani kes tersebut termasuk melaksanakan kerja membasmi dan mengawal lokasi kejadian.

Mengulas lanjut, Che Abdullah meminta orang ramai supaya tidak panik kerana wabak tersebut dapat dibendung menerusi tindakan pantas diambil pihak berkuasa. – 10 Mac 2017.