Aksem Kelantan Tingkat Kawalan Sempadan Elak Warga Korea Utara Bolos Keluar

Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kelantan meningkatkan kawalan bagi memastikan tiada warga Korea Utara meninggalkan negara ini menerusi laluan keluar masuk yang terdapat di sempadan negeri itu.

Komander Aksem Kelantan, Mohd. Asri Yahya berkata, langkah itu dibuat selepas pihaknya menerima arahan terbaharu dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri.

“Kementerian mengarahkan supaya tiada warga Korea Utara dibenarkan meninggalkan negara ini menerusi mana-mana pintu masuk di seluruh negara.

“Sebaik sahaja menerima arahan tersebut, kami segera meningkatkan kawalan dan penguatkuasaan, termasuk pemeriksaan identiti lebih ketat di sekatan-sekatan jalan raya menghala ke sempadan,” katanya.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengarahkan Jabatan Imigresen dan agensi berkaitan tidak membenarkan mana-mana warga Korea Utara meninggalkan negara ini berkuat kuasa serta merta.

Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, bagi memastikan arahan tersebut dipatuhi, pihaknya bekerjasama rapat setiap agensi penguat kuasa sempadan lain.

“Setakat ini fokus utama Aksem tidak berubah iaitu membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan dadah dan senjata api namun dalam masa sama, kita turut fokus melaksanakan arahan terbaharu ini.

“Langkah ini dikuatkuasakan sehinggalah kita menerima arahan terbaharu daripada Kementerian Dalam Negeri,” katanya. – 10 Mac 2017.