Mayat Reput Ditemui Terapung

Mayat dipercayai seorang warga asing ditemui reput dalam keadaan terapung di permukaan laut kira-kira 40.7 kilometer dari Kuala Tok Bali semalam.

Sepasukan anggota peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menemui mayat itu ketika sedang menunda masuk bot nelayan asing yang menceroboh perairan Kelantan.

“Dalam perjalanan pulang ke pangkalan operasi bersama-sama nelayan asing Vietnam yang ditahan kerana menangkap gamat menggunakan tangguk, petugas Bot Peronda Kilat 17 telah menjumpai satu badan manusia yang reput pada pukul 3.05 petang.

“Mayat yang tidak dikenali identitinya ditemui itu diselamatkan dan angkat ke atas bot peronda. Kita percaya mayat berkenaan adalah nelayan asing dan bukan warga tempatan.

“Apa pun kes mayat ini akan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” kata Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kapten Maritim Nurul Hizam Zakaria ketika dihubungi hari ini
.
Terdahulu katanya, tindakan empat nelayan asing yang sedang mencuri hidupan laut di perairan negara pada pukul 10.50 pagi di lokasi 68.5 kilometer dari Kuala Tok Bali berjaya dipatahkan.

Nurul Hizam berkata, nelayan asing, bot yang digunakan dan mayat yang ditemui dibawa masuk ke jeti pangkalan operasi Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali pada pukul 11.30 malam tadi. – 10 Mac 2017.