Berrsatu Hadapi Ancaman Korea Utara

Seluruh rakyat Malaysia diseru supaya bersatu dan bersama-sama kerajaan dalam berhadapan ancaman Korea Utara.

Dalam masa sama, semua pihak juga diminta tidak memperlekeh serta mempermainkan usaha yang diambil kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sejak akhir-akhir ini, terdapat segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab menjadikan ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara sebagai bahan gurauan melalui media sosial.

“Pada masa ini, sepatutnya semua pihak tanpa mengira fahaman politik bersatu dan bersama-sama kerajaan mempertahankan maruah serta kedaulatan negara.

“Kita juga dapat lihat bagaimana keprihatinan Perdana Menteri yang menghubungi sendiri rakyat kita di sana (Korea Utara). Cukup jelas soal keselamatan rakyat kita di Korea menjadi keutaman kerajaan,” katanya selepas merasmikan Karnival Wanita Muda Peringkat Negeri Kelantan dan Kempen Keahlian dan Daftar Pemilih anjuran Pergerakan Puteri UMNO.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau menyokong ketegasan Malaysia dalam menghadapi situasi tersebut selain berharap kerajaan tidak akan berkompromi dengan sebarang ugutan daripada Korea Utara.

“Tidak ada siapa (pihak luar) boleh menentukan cara kita membuat siasatan. Oleh demikian, apa jua keputusan kerajaan dalam memastikan keadilan dapat ditegakkan dengan cara kita dapat dipertahankan,” katanya. – 11 Mac 2017.