Kit Siang Terdesak Pertahankan Dinasti

Penasihat DAP, Lim Kit Siang disifatkan semakin terdesak untuk mempertahankan dinastinya yang hampir runtuh apabila berterusan memainkan isu Rang Undang-Undang Akta 355 (RUU 355).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, veteran DAP itu cuba mempertahankan imejnya dengan menentang RUU 355 meskipun perkara tersebut tidak mempunyai kaitan dengan masyarakat bukan Islam.

Dalam masa sama katanya, Kit Siang juga dilihat sanggup menjadi penghasut dengan mendesak pemimpin kanan parti komponen Barisan Nasional (BN) meletak jawatan sebagai menteri sekiranya usul tersebut berjaya di bahaskan di parlimen.

“Kita yakin, Kit Siang sebenarnya tertekan, takut dengan pindaan tersebut. Pada saya, dinasti Lim sudah hampir tumbang.

“Kit Siang cuba pertahankan imejnya dengan main isu ini ketika dia sedang bergelut dengan tentangan ahli DAP sendiri,” katanya selepas merasmikan Karnival Wanita Muda Peringkat Negeri Kelantan dan Kempen Keahlian dan Daftar Pemilih anjuran Pergerakan Puteri UMNO.

Baru-baru ini, Kit Siang mendesak empat pemimpin kanan parti komponen BN meletakkan jawatan sebagai menteri jika kerajaan memberi laluan usul persendirian itu dibahas di parlimen.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu dilaporkan berkata, pemimpin komponen BN tersebut sebelum ini telah berjanji untuk berundur sekiranya usul Akta 355 itu berjaya di bahaskan. – 11 Mac 2017.