PAS Nafi Setuju Agih Kerusi Bersama PPBM

PAS menafikan dakwaan bahawa parti itu bersetuju berunding mengagihkan kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tidak menerima sebarang maklumat atau arahan mengenai perkara itu dan sesuatu keputusan untuk mengagih kerusi adalah hak mutlak Pesuruhjaya PAS negeri.

“Tidak ada, setakat ini kita tidak ada maklumat bahawa PAS ajak PPBM untuk pengagihan kerusi.

“Kita cuma diberi laluan untuk bersama atas pentas menyatakan perjuangan masing-masing,” katanya selepas Program Pemukiman Menteri Besar dan Pemimpin Kerajaan Negeri Bersama Rakyat bagi Jajahan Kota Bharu di Majlis Daerah Ketereh (MDK).

Baru-baru ini, Presiden PPBM, Tan Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan bahawa PAS sudah bersedia berunding dan menjemput PPBM mengenai pembahagian kerusi pilihan raya umum.

Pada Februari lalu satu mesyuarat Jawatakuasa Induk Bersama antara PAS dan PPBM telah diadakan yang diketuai Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mesyuarat itu memperhalusi deraf rangka kerjasama persefahaman politik PAS – PPBM dalam menghadapi PRU14 dan beberapa ketetapan positif telah diambil dalam usaha untuk memeterai kerjasama antara kedua-dua parti. – 11 Mac 2017.