Projek Lebuh Raya Pakej 1B Kini 75 Peratus Siap

Pembinaan lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai bagi fasa pertama terus berjalan rancak apabila Pakej 1B melibatkan laluan Pasir Hor – Kadok sejauh 10.5 kilometer telah mencapai tahap 75 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September depan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi Pakej 2A melibatkan laluan Kadok – Ketereh sejauh tujuh kilometer mencapai tahap 50 peratus.

Selain itu katanya, Pakej 2B membabitkan laluan Ketereh- Kok Lanas pula sudah dalam proses mengeluarkan tender.

“Alhamdulilah lebuh raya yang bakal menghubungkan Kota Bharu-Kuala krai berjalan dengan cukup lancar,” katanya selepas meninjau tapak projek Pakej 1B hari ini.

Pakej 1B, 2A dan 2B merupakan fasa pertama bagi Projek lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai yang melibatkan laluan sepanjang 73 kilometer dengan kos keseluruhan dianggarkan mencecah RM1.8 bilion.

Mengulas lanjut Mustapa berkata, selain Pakej 1B, kerajaan Pusat turut meluluskan projek tambahan iaitu pembinaan jambatan enam lorong sejauh 3.5 kilometer dari Tunjong ke Pasir Hor.

Dalam masa sama, Mustapa juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju mengeluarkan tender bagi pembinaan Pakej 2B dijangkakan pada bulan depan.

“Bagaimanapun Pakej 1B yang dijadual siap September depan itu masih belum boleh dibuka kepada orang ramai kerana projek ini bersambung dengan Pakej 2A dan 2B yang masih dalam pembinaan.

“Namun, kita bercadang untuk membina laluan keluar masuk bagi membolehkan pengguna menggunakan laluan tersebut sementara menanti fasa pertama lebuh raya tersebut siap sepenuhnya,” katanya. – 11 Mac 2017.