PAS Mula Inisiatif Saman Individu Tuduh Terima Dana RM90 Juta

PAS memulakan inisiatif menyaman individu yang menuduh parti itu menerima RM90 juta daripada UMNO.

Memetik laporan Harakahdaily, saman tersebut difailkan pasukan peguam menerusi Lajnah Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (Luham).

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu, perkara tersebut sudah berada dalam tindakan peguam Luham.

“Hendak saman, bukan perkara yang mudah, dia kena kaji dahulu kes dan banyak perkara lagi, ia bukan semudah buat laporan polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Muktamar tahunan PAS Kawasan Tanah Merah kali ke-56 yang diadakan di Kampung Manal.

Isu tersebut timbul apabila bekas Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa mendakwa dana RM90 juta disalurkan kepada PAS Pusat melalui Affin Bank.

Terdahulu, semasa berucap merasmikan mesyuarat agung itu Takiyuddin berkata, PAS Pusat tidak mempunyai sebarang akaun dalam institusi perbankan, Affin Bank.

Tambahnya, PAS hanya mempunyai dua akaun di Bank Islam dan MayBank Islamik.

“Kalau orang kata, pemimpin PAS dapat duit daripada UMNO RM90 juta, dimasukan dalam Affin Bank, boleh jadi dana itu dapat masa dia dahulu,” katanya. – 12 Mac 2017.